Jumaat, 4 November 2011

7 langkah untuk merancang perbelanjaan keluarga

Untuk kehidupan bujang, membuat anggaran perbelanjaan adalah lebih mudah. Mereka lebih bijak untuk menguruskan wang yang bakal masuk dan mengesan perbelanjaan yang telah dilakukan. Ini kerana mereka hanya perlu memenuhi keinginan mereka sahaja. Tetapi merancang untuk keluarga adalah lebih sukar. Ianya disebabkan oleh pertambahan jumlah orang yang perlu diuruskan. Pada kebiasaannya, keluarga mempunyai beberapa punca sumber pendapatan terutama daripada suami atau isteri. Dan sekiranya salah seorang daripada pasangan ada yang boros, akan timbulnya kekeliruan atau kesukaran untuk merancang perbelanjaan keluarga. Ini merupakan salah satu punca utama yang menyebabkan perancangan perbelanjaan keluarga tidak berhasil. Walaubagaimanapun, mempunyai perancangan perbelanjaan dan berjaya mengikut perancangan yang telah ditetapkan adalah amat penting untuk mengukuhkan kewangan jangka masa panjang sesebuah keluarga itu. Merancang perbelanjaan keluarga mungkin agak sukar, tetapi ianya bukanlah satu perkara yang mustahi. Di bawah adalah 7 langkah yang mungkin dapat membantu anda untuk membuat perancangan yang lebih baik.

Catatkan jumlah sebenar pendapatan. Sekiranya pendapatan tidak konsisten untuk setiap bulan, dapatkan purata pendapatan untuk sebulan. Perancangan haruslah berdasarkan pendapatan purata dan bukannya pendapatan semasa.
 
Jejak semua perbelanjaan setiap hari untuk sumber rujukan anda pada hujung bulan. Simpan semua resit perbelanjaan yang telah dilakukan untuk memudahkan anda mengesan aliran wang keluar yang telah dilakukan.

Catat jumlah perbelanjaan yang wajib dibayar oleh anda setiap bulan. Ianya adalah seperti bayaran kereta, rumah, bil api/air dan lain-lain. Asingkan perbelanjaan yang wajib dibayar terlebih dahulu untuk mengelakkan anda terguna untuk kegunaan lain.

Untuk melakukan perancangan perbelanjaan yang lebih tepat, dapatkan pandangan daripada ahli keluarga mengenai keperluan mereka. Setiap orang di dalam ahli keluarga pasti mempunyai keperluan yang berlainan. Berbincang dan berusaha untuk mencari jalan terbaik untuk mengurangkan perbelanjaan yang dirasakan tidak perlu.

Setiap orang didalam ahli keluarga juga perlu diasuh untuk belajar berjimat. Ini kerana masing-masing mempunyai peranan  untuk membantu terhadap kejayaan sesebuah perancangan perbelanjaan yang telah dilakukan. Sebagai contoh, asuh anak untuk lebih berjimat terhadap penggunaan tenaga elektrik, air dan sebagainya.

Anggarkan berapa banyak yang keluarga anda mampu jimat untuk perbelanjaan rutin. Berkemungkinan ada sesetengah perbelanjaan rutin tidaklah terlalu penting dan ia seharusnya dikeluarkan daripada senarai perbelanjaan. Anda perlu lebih bijak untuk membezakan antara barangan keperluan atau keinginan.

Sekiranya anda masih menglami kesukaran untuk membuat simpanan, ulang langkah ini semula dan lakukan perancangan yang lebih terperinci. Cuba ubah strategi yang anda lakukan sebelum ini tetapi objektifnya tetap sama. 

* Peringatan untuk diri sendiri walaupun amy belum bekeluarga :)